LOKIA (PENDARAHAN POSNATUM)
Apa itu lokia?
Setiap wanita mengeluarkan darah selepas melahirkan bayi. Ini akan terjadi samada anda melahirkan bayi melalui vagina atau pembedahan caesarean. Ia dikenali sebagai lokia, dan merupakan cara badan anda mengeluarkan lapisan rahim selepas kelahiran. Ia boleh keluar secara pancutan kecil atau mengalir dengan lebih rata seperti haid biasa.
Darah yang meleleh akan bertukar warna dan mengurang setelah pemulihan berjalan dan rahim mengecut. Pada mulanya, aliran lokia adalah merah terang, dan mungkin mengandungi darah beku. Dengan perlahan-lahan, ia akan bertukar menjadi merah jambu, kemudian warna coklat dan akhirnya, putih kuning.
Anda mungkin berdarah bagi tempoh sependek dua atau tiga minggu atau sepanjang enam minggu selepas bersalin. Aliran akan berkurangan dengan perlahan-lahan. Lokia merah seharusnya tidak berlanjutan lebih dari dua minggu, walau bagaimanapun jika anda terlalu aktif, ia boleh datang semula. Jika anda perhatikan lelehan darah merah terang, itu petanda supaya mengurangkan aktiviti.
Adakah saya perlu berbuat sesuatu tentang ini?
Sebenarnya tidak. Pastikan anda mempunyai bekalan tuala wanita materniti yang mencukupi sebelum kelahiran bayi. Dua atau tiga bungkus memadai.
Pada mulanya, anda mungkin perlu menukar pad setiap jam atau dua jam, kemudian setiap tiga atau empat jam pada hari-hari dan minggu-minggu yang akan datang. Pastikan anda mencuci tangan sebelum dan selepas menukar pad.
Anda mungkin juga ada luka di antara vagina dan anus (perineum). Anda perlu mengekalkan kebersihan bahagian badan ini untuk menghalang sebarang jangkitan. Mandi sekurang-kurangnya satu kali sehari dan tukar pad dengan kerap.
Ada ibu-ibu yang suka menambah garam ke dalam air mandian, tetapi luka anda akan sembuh juga jika anda hanya menggunakan air bersih sahaja.
Bilakah saya harus hubungi doktor?
Hubungilah doktor jika anda mendapati simptom-simptom berikut, kerana ia mungkin petanda infeksi:
* Lokia anda berbau busuk.
* Anda menghidapi demam panas dan/atau menggigil.
* Lokia tetap berat dan merah terang selepas minggu pertama;
* Perut anda terasa sakit di bahagian bawah sebelah kiri atau kanan.
Kadang-kala, pendarahan lebih berat dari biasa boleh berlaku 24 jam hingga enam minggu selepas bersalin. Ini dikenali sebagai pendarahan posnatum sekunder. Umumnya, kurang dari satu per 100 ibu baru menghidapinya. Ia mungkin disebabkan oleh infeksi atau secebis plasenta tertinggal dalam uterus anda.
Segera ke hospital jika:
* pendarahan tiba-tiba menjadi berat, membasahi lebih dari satu tuala dalam sejam;
* pendarahan kembali kepada merah terang empat hari atau lebih selepas kelahiran dan tidak reda walaupun berehat di katil;
* lelehan mengandungi ketulan darah yang besar (lebih besar dari syiling 50 sen);* anda mula terasa pening;
* denyutan jantung anda mula terpecut atau menjadi tidak teratur.
Apabila anda mendapat rawatan yang betul untuk pendarahan posnatum sekunder, anda akan pulih. Anda boleh mengambil antibiotik atau menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cebisan plasenta itu.